Tuesday, August 13, 2013

Pinjaman mudah bantu vendor automotif


 Pinjaman mudah bantu vendor automotif
Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka memperuntukkan dana lebih RM2 bilion kepada Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) untuk disalurkan sebagai pinjaman mudah bagi membantu memajukan vendor automotif tempatan dalam tempoh hingga 2020.
Institut Automotif Malaysia (MAI) yang bertindak sebagai penasihat strategik dana itu dijangka memeterai perjanjian persefahaman dengan MIDF untuk melancarkan pinjaman mudah itu menjelang akhir bulan ini.
Ketua Eksekutif MAI, Mohamad Madani Sahari ketika mengulas rancangan penyediaan dana itu mengesahkannya, tetapi enggan menyatakan jumlahnya.
Katanya, pelancaran kemudahan pembiayaan itu sejajar sasaran meningkatkan sumbangan sektor automotif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada 10 peratus menjelang 2020, berbanding 3.2 peratus kini.
Sumbangan sektor vendor
Beliau berkata, menerusi kemudahan pembiayaan itu, pihaknya menyasarkan sumbangan segmen vendor dikembangkan kepada kira-kira 4.6 peratus pada 2020 berbanding 1.6 peratus daripada nilai KDNK ketika ini.
“Pembiayaan ini langkah strategik yang menyokong Dasar Automotif Negara (NAP). Ia bakal memberikan manfaat besar kepada industri, terutama untuk menyediakan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.
“Komuniti vendor sangat penting kepada industri kerana segmen ini memiliki 190,000 pekerja daripada keseluruhan 800,000 pekerja industri automotif tempatan.
“Dengan NAP dan dana yang disalurkan nanti, ia dijangka menjana lebih banyak peluang kerja dalam segmen vendor iaitu tambahan kira-kira 120,000 pekerjaan,” katanya di Kuala Lumpur.
Mohamad Madani berkata, vendor boleh menggunakan pinjaman itu untuk pelbagai aktiviti yang memperkasakan daya saing termasuk penggabungan dan pengambilalihan, membeli teknologi, pengkomersialan teknologi serta pembangunan produk.
Katanya, MAI juga cuba mempromosikan pembangunan aktiviti bernilai tinggi baru dalam sektor automotif seperti aluminium casting, foundry mold-Base, kejuruteraan plastik dan pelbagai lagi.
“Ini beberapa sektor yang kami cuba promosi supaya lebih banyak pembabitan pelaburan domestik. MAI akan menasihatkan berapa banyak pinjaman yang wajar disediakan untuk pelaburan baru ini dan MIDF akan laksanakan,” katanya.
- bharian.com.my


Sumber Malaysia Chronicle

0 comments:

Post a Comment