BERCAKAP di San Francisco pada 24 September
lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mahu rasuah
menjadi sebahagian daripada sejarah silam Malaysia dan bukannya amalan
masa depan.
Tidak ada salahnya idea seperti itu. Sebaliknya ia adalah satu idea
baik, bernas dan pasti menyelamatkan banyak wang awam dari disambar
para buaya lapar yang semakin banyak berkeliaran dalam komuniti kontrak
pembinaan, perkhidmatan dan perolehan membabitkan wang awam.
Begitupun, sejarah menunjukkan idea seperti itu cukup bersifat
retorik, jarang diimplementasikan sepenuhnya (dibaca sekadar batuk
ditangga) dan sudah menjadi modal piawaian Perdana Menteri Malaysia
sejak beberapa dekad lagi
Hal seperti ini menimbulkan tanggapan umum betapa selagi amalan
rasuah berterusan maka selagi itulah ia boleh dipergunakan oleh pemimpin
kerajaan Umno-BN peringkat tertinggi untuk mempamerkan betapa serius
dan ikhlasnya kerajaan mahu memerangi rasuah.
Rasuah wujud dalam bentuk ketara dan tidak ketara. Rasuah berbentuk
ketara adalah ketara – bagi sekian banyak dapat itu dan ini. Rasuah
(juga bermaksud penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa) jenis tidak
ketara barangkali lebih signifikan jumlahnya berbanding dengan rasuah
ketara.
Apabila rakyat sendiri dirasuah dengan pelbagai pemberian one-off
(sekali gus); dijanjikan pelbagai projek bidan terjun menjelang pilihan
raya umum dan pilihan raya kecil dan janji tersebut ditunaikan sebagai
habuan memilih parti kerajaan; kontrak mega dan bukan-mega kerajaan
dianugerahkan kepada pihak tertentu secara rundingan terus tanpa apa
juga bentuk ketelusan; maka amalan seperti ini ‘memakan’ dana awam baik
dari sumber Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan ataupun Negeri,
menjadikan peruntukan bajet dan memaksakan kedudukan kewangan kerajaan
mendaftar angka ‘merah’.
Hutang kerajaan Persekutuan meningkat kepada 53.3 peratus dari KDNK
pada akhir tahun fiskal 2012, bertokok dari 51.6 peratus pada akhir 2011
atau 39.8 peratus pada akhir 2008 tatkala Abdullah Badawi masih
menjadi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.
Defisit
am bajet kerajaan Persekutuan pula, sebagaimana yang dikira oleh
agensi perkadaran Fitch meluas kepada 4.7 peratus dari KDNK untuk 2012
berbanding 3.8 peratus pada 2011.
Pada 24 September, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan telah
membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan bagi jumlah RM14.12
bilion.
Rang Undang-Undang ini sekiranya diluluskan bakal menyaksikan Jabatan
Perbendaharaan mendapat peruntukan terbanyak iaitu RM11.854 bilion
untuk Perkhidmatan Am Perbendaharaan dan RM606.9 juta untuk kegunaan
Jabatan itu sendiri.
Sukar untuk dipastikan sama ada peruntukan tambahan sebegini besar
adalah berpunca dari kesilapan menyediakan bajet atau timbul dari
pemberian berbentuk janji pemimpin politik kerajaan yang tidak termasuk
dalam bajet 2013 ketika dibentangkan pada November 2012.
Sekiranya ia merupakan kesilapan menyediakan bajet, maka ralat 5.6
peratus dari angka asal bajet, RM251.6 bilion sudah tentu merupakan satu
ralat besar dan mencerminkan ketidakefisien pihak yang menyediakan
bajet tersebut.
Namun apapun punca berlakunya ralat tersebut (sekiranya ia
benar-benar merupakan kesilapan), rakyat sudah tentu ingin mengetahui
apakah perbelanjaan-perbelanjaan yang dilonggokkan ke dalam butiran
Perkhidmatan Am Perbendaharaan sehingga angkanya mencecah lebih daripada
RM11 bilion? Jika perbelanjaan tersebut merupakan perbelanjaan luar
jangka mengapa tidak sahaja peruntukan luar jangka digunakan bagi
menampungnya?
Lebih pelik lagi mengapakah Perbendaharan sendiri memerlukan
pertambahan sebanyak itu sedangkan perkhidmatan penting lain bakal
menerima jumlah lebih kecil sekiranya Rang Undang-Undang tersebut
diluluskan – Kementerian Pendidikan, RM322.8 juta; Kementerian
Kesihatan, RM300 juta, Kementerian Pertahanan RM239 juta, dan
Kementerian Dalam Negeri RM205.1 juta.