It's all started from Sumbiling

Therefore the showing of a variety from a humble sumbilingman blog.

sumbilingman.blogspot.com

Berbagai variasi posting dari kampong Sumbiling, Papar.

It has been quite some time now

Bit by bit, a step of a time. A collection of interesting items for you, since 2010.

Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit

Menyajikan perkara-perkara menarik untuk anda, sejak 2010.

Internet adalah sumber pengetahuan

Berbagai-bagai ilmu tersedia untuk manafaat manusia sejagat. Teruskan bersama-sama sumbilingman pada bila-bila masa, terima kasih.

Saturday, August 17, 2013

Jalan raya Pan Borneo siap 93 peratus – Rosnah





KOTA KINABALU: Rangkaian jalan raya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak, Brunei dan Sabah kini siap 93 peratus dengan selebihnya masih dalam proses pembinaan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Menurut Rosnah (gambar), jalan raya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer bermula dari

Sematan di bahagian barat Sarawak melalui bandaraya Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri, Limbang, Lawas, Kota Kinabalu, Sandakan dan seterusnya ke Tawau, Sabah.

“Keseluruhan jalan raya ini telah berturap dan sepanjang 248.65 kilometer mempunyai tahap empat lorong atau enam lorong manakala bakinya masih ditahap dua lorong, ini tidak termasuk ‘missing link’ sepanjang 50 kilometer dari Kalabakan, Sabah ke Serudong, Kalimantan yang masih dalam proses pembinaan,” katanya pada majlis taklimat media mengenai Jalan Raya Pan Borneo di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Kerja Raya Mohd Azlan Mon Jamaluddin dan Ketua Penolong Pengarah Jalan Raya Sabah Ali Ahmad Hamid.

Rosnah berkata, bagi tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM89 juta untuk melaksanakan program membaik pulih Jalan Raya Pan Borneo iaitu RM41.8 juta bagi negeri Sabah dan RM47.2 juta bagi negeri Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

“Sebanyak 109 projek telah dikenal pasti iaitu 86 projek di negeri Sabah dan 23 projek di negeri Sarawak yang melibatkan skop membaik pulih jalan, membina lorong-lorong memotong, rawatan kawasan kemalangan dan menaikkan aras jalan yang sering di landa banjir,” katanya.

“Sehingga kini sebanyak 74 projek atau 67.8 peratus telah dan sedang disiapkan manakala bakinya 35 projek atau 32.2 peratus sedang dalam peringkat pembinaan dan dijangka akan siap menjelang tahun 2015 dengan kos RM277.5 juta,” katanya.

Rosnah berkata projek jalan raya itu telah dimulakan pada tahun 1963 iaitu sebaik sahaja Persekutuan Malaysia dibentuk dan pada peringkat awalnya sebahagian besar jalan raya itu terdiri daripada tanah dan batu kerikil.

“Kerja-kerja menaik taraf dan menurap keseluruhan jalan raya ini telah dimulakan pada tahun 1968 menerusi Rancangan Colombo dan pada 1973, barulah kerja turapan menggunakan kaedah ‘flush sealing’ dibuat dan disiapkan akhir tempoh RMKe-8,” katanya.

Katanya, melalui Pelan Induk Highway Network Development Plan Phase 2 (HNDP 2) untuk Sabah dan Sarawak, kementerian merancang untuk menaik taraf keseluruhan jalan raya ini ke tahap jalan berkembar, empat lorong secara berperingkat mulai tahun 2011 dengan anggaran kos RM22 bilion, iaitu RM12.5 bilion di Sarawak dan RM9.5 bilion di Sabah.

“Memandangkan kos untuk menaik taraf jalan raya Pan Borneo ini ke tahap dual carriageway sangat tinggi, maka kerajaan mencadangkan supaya kerja-kerja naik taraf ini dibuat secara berfasa antara 10 hingga 15 tahun mengikut senarai keutamaan jajaran yang telah dikenal pasti,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cadangan untuk membina laluan bagi kenderaan berat seperti lori yang mengangkut kelapa sawit, kayu balak dan arang batu di Sarawak, beliau berkata pihaknya akan mengkaji perkara tersebut.

“Selain itu, bagi setiap lima kilometer akan diwujudkan lorong untuk memotong di kawasan yang kurang mengalami kesesakan lalu lintas dan pertambahan lorong dari satu lorong ke dua lorong dan enam lorong adalah untuk kawasan yang mengalami kesesakan lalu lintas,” katanya.

Sumber : Borneo Insider

RCI: Bekas Ketua Menteri Sabah tarik diri saat akhir

RCI: Bekas Ketua Menteri Sabah tarik diri saat akhir

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh membuat keputusan menarik diri saat akhir bagi memberi keterangan terhadap tuduhan ke atasnya oleh Hassnar Ebrahim di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dengan pemberian kad pengenalan kepada warga asing hari ini.
Bekas Ketua Daerah Sandakan, Hassnar sebelum ini memberikan keterangan menuduh Harris bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Megat Junid Megat Ayob terlibat secara langsung dalam melibatkan isu pemberian kad pengenalan.
Susulan itu, Harris telah dipanggil semula untuk menjawab tuduhan ke atasnya, bagaimanapun pegawai bertugas Manoj Kurup memberitahu kepada panel dihadapan bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bahawa Harris telah menolak permintaan untuk menjawab tuduhan ke atasnya.
"Saksi telah memberitahu saya beliau tidak akan menjawab keterangan Hassnar," kata Manoj sejurus selepas sesi RCI berehat untuk menunaikan solat Jumaat.
Sebaik sesi bersambung, bekas Menteri Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin mengambil tempat untuk memberikan keterangan.
Dalam keterangan sebelum ini, Hassnar menuduh penglibatan Harris dalam pengeluaran kad pengenalan tidak sah kepada pendatang haram di Sabah sebagai balasan untuk undi mereka, atau digelar sebagai Projek IC atau Projek M, sempena nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Selain Hassnar dan Harris, seorang lagi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan juga memberikan keterangan dalam RCI semalam di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Harris juga kelihatan di mahkamah pagi ini, beliau sebelum ini memberikan keterangan dalam RCI pada Januari lalu menafikan kewujudan Projek IC, sama seperti keterangan yang diberikan oleh Abdul Aziz hari ini.
Sesi RCI berakhir hari ini selepas dua hari bersidang dan Shim mengumumkan sesi keterangan akan bersambung pada 9 September depan.
Sebanyak 202 saksi telah memberikan keterangan sejak ia bermula pada Oktober 2012 lalu.
- themalaysianinsider.com

Sumber : Malaysia chronicle