Friday, September 6, 2013

Boon Siew Honda jangka jualan meningkat



 Boon Siew Honda jangka jualan meningkat
BATU KAWAN - Boon Siew Honda Sdn Bhd menjangka kenaikan harga bahan api baru-baru ini akan meningkatkan jualan motosikalnya dan membantu mencapai sasaran 240,000 unit dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Satoshi Okada, berkata apabila harga bahan api meningkat pada 2008, jualan motosikalnya meningkat sebanyak kira-kira 20 hingga 30 peratus.
"Sukar untuk menganggar berapa banyak ia akan naik, tetapi kami yakin dapat mencapai sasaran kami bagi tempoh 12 bulan akan datang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan model baharu Honda Wave Dash R and S siries, di sini, hari ini.
Okada berkata syarikat itu menjangka model Wave Dash yang baru dilancarkan itu bakal menyumbang kira-kira 15 peratus kepada jumlah jualan motosikal syarikat dalam tempoh tersebut.
"Saya menjangka permintaan bagi motosikal kekal stabil di tengah-tengah keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan kami menyasar jualan kira-kira 40,000 unit Wave Dash bagi tempoh 12 bulan akan datang," katanya.
Beliau berkata motosikal EX5 kekal sebagai model paling laris yang menyumbang lebih separuh daripada jumlah jualan tahunan syarikat.
Okada berkata Wave Dash R and S diilhamkan daripada warisan Honda Racing dalam sukan permotoran dan disasarkan kepada pelanggan yang mahukan motosikal yang menonjol.
"Motosikal itu yang menampilkan ciri-ciri aerodinamik sporty, bergaya dan berprestasi tinggi, dijangka menjadi ikutan dalam segmen cub sederhana pasaran tempatan," katanya.
Beliau berkata motosikal itu dikuasakan oleh enjin 110cc empat lejang.
Wave Dash R and S tampil dengan warna merah garang, hitam mutiara, oren bercahaya dan metalik perak.
Model Wave Dash S berharga RM5,029, Wave Dash R RM5,289 dan Wave Dash Repsol RM5,419.
Kedua-dua siri itu mempunyai jaminan pembuatan dua tahun atau 20,000 km.
- Bernama

Sumber : Malaysia Chronicle

0 comments:

Post a Comment