Sunday, July 21, 2013

Perodua kekal pengeluar kenderaan No. 1

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mencatatkan jualan sebanyak 96,900 buah kenderaan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, peningkatan empat peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pencapaian itu sekali gus mengekalkan kedudukan Perodua sebagai pengeluar kenderaan nasional nombor satu negara.
Peningkatan prestasi jualan pada separuh pertama itu telah dipacu oleh pengenalan versi S Series bagi semua model kenderaan Perodua, sejak Mac lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Sallleh berkata, pihaknya yakin Perodua kini telah berjaya menguasai pasaran industri sebanyak 31 peratus.
Katanya, ukuran penguasaan pasaran itu dibuat berdasarkan jumlah jualan dalam industri (TIV) yang dijangka mencecah 312,800 buah kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini,
"Jualan Perodua bagi suku kedua tahun ini juga meningkat sebanyak 4.1 peratus kepada 50,200 buah, berbanding 48,200 buah kenderaan dalam tempoh yang sama tahun lalu.
"Bagaimanapun, jualan Perodua menyusut pada bulan Jun iaitu sebanyak 3.7 peratus kepada 15,800 buah berbanding 16,400 buah kenderaan dalam tempoh yang sama tahun lalu.
"Penyusutan itu berlaku berikutan terdapat spekulasi pengurangan harga kenderaan, selain persaingan pasaran yang meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman prestasi jualan bagi separuh pertama Perodua yang berakhir 30 Jun lalu.
Bercakap mengenai pengeluaran Perodua setakat ini, syarikat telah mengeluarkan kira-kira 102,000 buah kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Aminar Rashid.
Jelasnya, pihaknya berharap dapat mengeluarkan sebanyak 206,700 buah kenderaan sehingga akhir tahun ini.
Bagi perniagaan aksesori dan alat ganti, tambah Aminar Rashid, perolehan dalam kategori itu telah melonjak sebanyak 40.2 peratus kepada RM157.8 juta dalam tempoh separuh pertama tahun ini berbanding RM112.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
"Kami percaya setelah gudang alat ganti dan aksesori Perodua siap Ogos ini, Perodua dijangka dapat meningkatkan keupayaan pengedaran dan perkhidmatan pelanggan.
Mengenai strategi Perodua pada tahun ini, kata Aminar Rashid, syarikat akan meneruskan strategi pemasarannya yang agresif dan memperluaskan populariti S-Series bagi mengekalkan momentum jualan.
"Sehingga akhir tahun ini, kami yakin untuk mencapai sasaran awal jualan iaitu 194,000 buah kenderaan," ujarnya.

- Utusan Online

 Sumber : malaysia chronicle



Perodua kekal pengeluar kenderaan No. 1

0 comments:

Post a Comment