SUBANG JAYA - Beberapa saksi yang tampil pada prosiding Tribunal Rakyat hari ini turut memberi keterangan berkisar sikap media khususnya media arus perdana pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.
Antaranya, Pegawai Eksekutif Pusat Wartawan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah membentangkan kajian berhubung beberapa isu yang terpaksa dihadapi wartawan dan editor semasa pilihan raya.
Katanya, kebanyakan wartawan yang bekerja di media arus perdana tidak diberi kebebasan untuk menulis rencana negatif berhubung Umno BN.
Selain beliau, seorang lagi saksi, Profesor Zaharom Nain pula mendakwa, liputan berita oleh media arus perdana pada PRU13 lalu bersifat bias kepada BN berbanding portal online yamg lebih seimbang.
Sementara itu, ahli akademik dari Universiti Malaya Profesor Edmund Terence Gomez pula mendakwa tempoh 10 minit yang diberikan kerajaan kepada parti politik untuk membentangkan manifesto di televisyen sebagai sesuatu tindakan tidak adil.
Beliau yang bercakap melalui satu rakaman video berkata, adalah sesuatu yang mustahil bagi parti politik bertanding untuk meyakinkan orang ramai tentang tawaran manifesto pilihan raya mereka dalam tempoh singkat.
“Tidak adil cadangan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang hanya membenarkan tempoh 10 minit kepada parti politik untuk membentangkan manifesto mereka.
“Mesej yang ingin disampaikan sudah pasti tidak dapat difahami dan dihayati rakyat dalam tempoh singkat itu,” katanya seperti dilapor Selangorku.
Selain itu, katanya, pengedaran risalah berkaitan sesebuah parti politik juga tidak wajar dilakukan semasa berkempen kerana ia akan menindas pihak lawan yang lebih lemah.
Sumber : Malaysia Chronicle
0 comments:
Post a Comment