LEBIH kerap dari tidak, kematian dalam Umno
tidak membawa makna kepada sesetengah orang. Ambil sahaja Isa Samad,
bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan bekas Menteri di Jabatan
Perdana Menteri.
Setelah dikenakan tindakan disiplin kerana ‘politik wang’, istilah
suam kuku Umno bagi amalan merasuah perwakilan di perhimpunan agung bagi
memilih jawatankuasa tertinggi parti, Isa kembali mencuri perhatian
media.
Selanjutnya, apa juga kesalahan dalam Umno tidak kira sebesar mana
sekalipun, tidak akan memadamkan peluang seseorang untuk kembali hidup
dan mencapai kedudukan dalam parti dan seterusnya dalam kerajaan.
Justeru kenyataan klasik bekas Presidennya, ‘Melayu mudah lupa’ cukup
relevan untuk ahli serta pemimpin Umno. Hal seperti ini mengingatkan
kita kepada kenyataan seorang penulis politik veteran ketika menyindir
orang Umno dalam buku-buku tulisan beliau betapa orang Melayu (dibaca
orang Umno) mempunyai ingatan singkat atau ‘short memory’.
Tahun 2009 membuktikan hal ini apabila Isa yang dikenakan tindakan
penggantungan keahlian selama tiga tahun (24 Jun 2005 hingga 23 Jun
2008) dipanggil untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun)
Bagan Pinang, Negeri Sembilan.
Walaupun pencalonan beliau mendapat kritikan dari sesetengah
pemimpin Umno sendiri, Najib mempunyai sebab tersendiri yang hanya
diketahui oleh dirinya dalam memilih Isa sebagai calon walaupun
tindakan penggantungan bagi seseorang yang telah menjadi Menteri Besar
selama 22 tahun (April 1982 hingga Mac 2004) mencerminkan keseriusan
kesalahan yang dilakukan sekaligus tidak lagi layak untuk diletakkan
kepercayaan untuk menjawat sesuatu jawatan awam.
Kemenangan Isa di Bagan Pinang menyuntikkan nyawa baru dalam hayat
politik beliau. Walaupun Najib berhati-hati tidak meletakkan Isa
kembali ke kerusi Menteri Besar Negeri Sembilan, namun Perdana Menteri
memeranjatkan semua apabila melantik Isa selaku Pengerusi Felda.
Maka setelah dihidupkan semula dari kematian politik apabila terpilih
dan muncul sebagai seorang Adun, perlantikannya selaku Pengerusi
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, satu-satunya skim pra-Merdeka
(Felda ditubuhkan pada 1956) bagi menangani penempatan semula penduduk miskin luar bandar ke kawasan-kawasan baru dibangunkan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka dengan tumpuan khas diberikan untuk tanaman kontan.
Begitulah sejarahnya. Namun, sementara umum tidak begitu pasti
apakah ekonomi di peringkat rakyat yang bernaung di bawah Felda telah
meningkat berkali ganda, atau sebaliknya beranjak secara marginal,
namun apa yang pasti, badan yang diamanahkan untuk menghapuskan
kemiskinan mereka kini sudah menjadi pemain besar dalam dunia korporat.
Benar sebelum ini Felda membuat pelaburan di sana sini dalam bidang
bersabit aktiviti terasnya. Tapi sejak Isa mengambil alih tampuk kuasa
pengurusan tertingginya, Felda seolah-olah muncul sebagai sebuah lagi
penyerang korporat Malaysia dengan mimpi besar.
Tidak lama dulu, dengan dilatarbelakangi pelbagai bantahan dan dari
pelbagai pihak, Isa meneruskan keputusannya mengapungkan saham Felda
menerusi penubuhan Felda Global Ventures Holdings.
Kini, Isa meneruskan pencapaian mimpi beliau sebagai ‘corporate
raider’ apabila beberapa hari lalu Felda memeterai pembelian Grand Plaza
Serviced Apartments di kawasan Bayswater, London. Menurut laporan
sebuah akhbar bisnes tempatan, bangunan plaza mengandungi 198 unit
apartment itu dibeli oleh Felda pada harga STG98 juta (RM499.8 juta).
Banyak pemerhati menganggap pembelian hartanah di ibu negara United
Kingdom ini adalah sebahagian daripada aktiviti membeli belah yang
dilakukan oleh Felda di bawah Isa. Bulan lalu Felda menguasai saham
Idris Corp Bhd pada kos RM110 juta. Dan sebelum itu, Felda juga telah
membeli Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu.
Kurang pasti bagaimana pelaburan ala-korporat ini akan memberikan
pulangan setimpal ke atas modal Felda yang telah dikeluarkan dan
bagaimana pula ia akhirnya dapat memenuhi aspirasi asal badan tersebut
bagi menaikkan taraf ekonomi golongan miskin yang disasarkan menerusi
skim ini.
Namun lebih kepada perwatakan seorang ahli politik berbanding
penyerang korporat tulen, sudah tentu Isa mempunyai jawapan kepada
setiap soalan yang bakal dikemukakan.
Sunday, September 22, 2013
Beli apartmen mewah London dengan duit Felda
10:44 AM
No comments
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment