KUALA LUMPUR - Laporan Tinjauan Kerja JobStreet.com baru-baru ini telah menunjukkan bahawa pencari kerja di negara ini terpaksa berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan pada tahun ini berbanding tahun lalu.
Tinjauan itu dibuat berdasarkan petunjuk daripada pandangan para majikan, pelanggan-pelanggan, pengurus dan pengurus kanan syarikat di negara ini yang dijalankan setiap suku tahun.
Daripada laporan itu, hanya 34 peratus daripada para majikan atau koresponden di negara ini berpuas hati terhadap pertumbuhan prospek kerja pada tahun ini berbanding 40 peratus pada tahun lalu.
Jelas laporan itu, tahap keyakinan untuk pertumbuhan prospek kerja telah jatuh pada tahun ini.
"Walaupun terdapat sentimen pertumbuhan kerja yang lebih rendah pada tahun ini, JobStreet.com mendapati purata peluang pekerjaan adalah sebanyak 20,000 sepanjang tahun ini menerusi laman sesawang,'' kata kenyataan itu.
Tambah JobStreet.com, sentimen pertumbuhan rendah untuk pekerjaan pada tahun ini oleh para majikan disebabkan ketidaktentuan ekonomi global dan pelaksanaan beberapa dasar-dasar kerajaan.
Katanya, salah satu majikan daripada industri pembuatan memberitahu, pihak mereka tidak mahu mengambil pekerja berikutan lanjutan usia persaraan yang diperkenalkan kerajaan daripada 55 kepada 60 tahun.
Seorang lagi majikan menambah, dasar gaji minimum telah meningkatkan kos operasi mereka sehingga mereka tidak mampu menggajikan lebih ramai pekerja.
Tambah JobStreet.com, walaupun tahun ini merupakan tahun mencabar untuk pencari kerja, namun ia merupakan tahun yang baik bagi pencari kerja untuk jawatan pengurusan tertinggi.
Para majikan di negara ini berpendapat, permintaan terhadap pekerja dalam pengurusan tertinggi adalah amat tinggi.
Sumber : Malaysia Chronicle
0 comments:
Post a Comment