Peruntukan kewangan antara bajet penting yang harus diutamakan ketika Syawal menjelma. Segala persiapan dari segi pakaian, peruntukan duit raya, kos perjalanan untuk pulang ke kampung, kos selenggara kenderaan hingga ke juadah makanan perlu diawasi dan dirancang dengan bijak.
Mereka yang berkemampuan tiada masalah. Namun bagaimana pula golongan yang tak berhemah dan terlalu ghairah untuk memiliki barangan keperluan raya?
Isu ini tidak timbul jika individu itu melakukan perancangan awal. Sebelum beli keperluan raya, perlu ‘beringat’ kesan buruk yang bakal berlaku jika boros dalam berbelanja.
Tak salah jika sakan membeli kerana raya hanya disambut setahun sekali, namun tak perlulah hingga memudaratkan diri selepas raya dengan hutang keliling pinggang. Bayangkan kalau makan masa bertahun untuk dilunaskan?
Bahkan bukan saja keperluan penting yang dibeli malah perabot kabinet dan aksesori rumah turut ditukar yang harganya bukan ratusan ringgit tapi ribuan ringgit! Semua ini perlu guna duit banyak, namun ia hak individu itu untuk berbelanja asalkan tak susahkan orang sekeliling. Orang kata, ukur baju di badan sendiri.
Kad kredit
Pernah tak terfikir beban dalam penggunaan kad kredit? Benar kad kredit membantu masalah kita dengan sekelip mata tanpa perlu membawa wang tunai yang banyak ketika membeli-belah tetapi ada kesan buruk bakal wujud, malah mengambil masa untuk selesaikan hutangnya.
Apabila sudah guna kad kredit hingga ‘tak ingat dunia’ maka hidup dalam bebanan apabila tak dapat langsaikan hutang. Justeru, pengguna disarankan tidak sesekali membawa kad kredit semasa keluar berbelanja agar dapat berbelanja dengan penuh hemah. Bayangkan penggunaan kad kredit berjumlah RM5,000 dan harus dilangsaikan hutang selama tujuh tahun. Beban yang belum tentu anda mampu menggalasnya.
Tak salah jika ada individu yang masih guna kad kredit asalkan segera bayar agar tidak ada caj tambahan yang dikenakan kerana lewat bayar.
Alternatif lain yang boleh dilakukan untuk elak pokai, arahkan pihak bank untuk letak had dalam perbelanjaan anda supaya penggunaan kad kredit seterusnya tidak membebankan anda untuk membayarnya.
Elak sengkek
Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengelakkan diri daripada pokai selepas raya. Antaranya dapatkan Perancangan Kewangan Berdaftar (RFP) yang boleh bantu diri untuk laksanakan rancangan kewangan yang komprehensif.
Tidak semua orang tahu cara terbaik untuk simpan duit dan cara guna duit. Ada dua jenis individu apabila sebut berkaitan duit iaitu orang yang boros berbelanja atau jenis jimat berbelanja.
Ada ketikanya mereka tak tahu cara penggunaan duit yang mampu jamin masa depan, jadi lantik perancang kewangan terutama apabila ada perniagaan besar.
Asingkan wang perbelanjaan yang penting ke dalam sampul berbeza dan nyatakan butiran tertentu di hadapan sampul agar lebih mudah untuk berbelanja. Kaedah ini antara yang terbaik boleh dilakukan agar diri tidak ‘terbabas’ berbelanja lebih.
Had perbelanjaan seperti tidak makan di luar, elak diri daripada beli makanan ringan yang membazir dan kurangkan langganan TV berbayar antara yang mampu anda lakukan. Bukan?
Pengaruh barang promosi
“Seseorang itu jadi pokai lepas raya kerana tak rancang betul-betul barang apa yang nak dibeli dan barang promosi juga mampu beri pengaruh kuat, daripada tak nak beli, terus beli.
“Akibat sikap itu, duit keperluan diri habis dan tak mampu nak tampung hidup selepas raya selain beban hutang terpaksa dilangsaikan segera.
“Sebelum buat keputusan untuk beli barang raya, asingkan duit untuk komitmen lain seperti kereta, bil, duit belanja mak ayah dan keperluan lain. Selepas itu, baki yang lebih baru bahagikan untuk beli barang keperluan raya dan selepas raya.
“Pokai sering terjadi kepada kaum hawa sebab wanita biasanya cenderung membeli-belah untuk sambut raya berbanding lelaki yang selalu pakai saja baju Melayu raya tahun lepas.
“Bayangkan perempuan tak sah kalau tidak ada tiga hingga empat pasang baju raya, tak termasuk aksesori lain seperti beg tangan dan kasut. Bagi yang sudah berkahwin semestinya inginkan keperluan untuk buat biskut raya dan perhiasan rumah yang lain,” katanya.
Nama: Wan Nur Farah Najwa Wan Ahmad, 24,
Tempat: Kuala Lumpur
Senaraikan perbelanjaan
“Kalau tak bijak dalam berbelanja, akan mudah pokai dan bila tak beringat, akan beri kesan buruk untuk jangka masa panjang. Sebelum berbelanja, senaraikan barang yang ingin dibeli dan utamakan yang penting saja agar tidak boros.
“Islam melarang umatnya buat pembaziran sedangkan ada insan lain yang tak mampu dan hidup dalam kemiskinan.
“Berbelanjalah ketika perut tidak lapar agar diri tidak berbelanja lebih kerana bila dah keluar membeli-belah, pasti kita ingin makan di tempat yang mahal. Jadi elakkanlah,” katanya.
- hmetro.com.my
0 comments:
Post a Comment