It's all started from Sumbiling

Therefore the showing of a variety from a humble sumbilingman blog.

sumbilingman.blogspot.com

Berbagai variasi posting dari kampong Sumbiling, Papar.

It has been quite some time now

Bit by bit, a step of a time. A collection of interesting items for you, since 2010.

Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit

Menyajikan perkara-perkara menarik untuk anda, sejak 2010.

Internet adalah sumber pengetahuan

Berbagai-bagai ilmu tersedia untuk manafaat manusia sejagat. Teruskan bersama-sama sumbilingman pada bila-bila masa, terima kasih.

Monday, March 28, 2011

GEJALA SOSIAL REMAJA














PENGENALAN

Banyak yang telah kita dengar tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali baik yang dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka kegiatan merekalah yang hangat diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat kepada masalah sosial dan perbuatan jenayah membabitkan pelajar dan remaja benar-benar membimbangkan kita.
Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai-nilai murni, malahan seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa. Mereka bukan sekadar nakal dengan menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau berkelakuan tidak senonoh malah gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah ,lari dari rumah ,seks bebas ,melepak, mat rempit tidak memeranjatkan kita..Mereka kini sudah berani melakukan perbuatan jenayah berat seperti menganggotai kumpulan samseng seperti kumpulan gengsterisme , membunuh, samun tanpa senjata api mahupun dengan senjata api, merogol, pelacuran, judi, vandalisme penyalahgunaan dadah , minum minuman
keras, terbabit video lucah dan sebagainya. Keadaan seperti ini bukan sahaja berlaku di sekolah bandar dan di pinggiran bandar, malah disekolah luar bandar.


REMAJA DARI SUDUT PSIKOLOGI

Perubahan daripada alam remaja kepada alam dewasa merupakan satu masa yang amat penting, dimana perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru lebih-lebih lagi dengan gejala sosial akan bermula. Memahami siapa remaja adalah penting bagi mengetahui mengapa mereka terlibat dengan gejala sosial ini. Ini kerana faktor personaliti individu itu sendiri serta faktor perkembangannya mempengaruhi tingkahlaku yang
dilakukan olehnya. Perkataan remaja ataupun adolescene berasal dari perkataan Latin iaitu “adolscere” yang bermaksud “membesar” atau “membesar menjadi matang”,remaja merupakan seorang yang mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin dan sedang melalui proses inginkan cinta. Dari segi perspektif agama pula, remaja dianggap sebagai mereka yang sudah cukup umur atau diistilahkan sebagai baligh. Pada peringkat ini, golongan remaja mengalami peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa. Definisi remaja ini banyak diperkatakan oleh ahli psikologi dan ada di antaranya mendefinisikan remaja sebagai suatu tempoh perkembangan fizikal, satu konsep yang abstrak, satu fenomena sosiobudaya atau berdasarkan sikap remaja terhadap kehidupannya. Persoalan yang sering dikaitkan dengan pencarian identiti adalah merupakan persoalan utama bagi remaja. Persoalan seperti "Siapakah saya?","Apakah bidang kerjaya yang sesuai dengan saya?", dan sebagainya yang membawa maksud identiti apa yang membuatkan seseorang itu berbeza dengan orang lain. Mengikut seorang ahli psikologi Stanley Hall (1904), zaman remaja ialah jangka masa seseorang itu mengalami berbagai cabaran dan tekanan (storm and stress).Ini kerana pada peringkat ini remaja mengalami perubahan fizikal, intelek serta emosi dan terpaksa berhadapan dengan berbagai konflik di dalam dirinya dan juga masyarakat. Perkembangan fizikal remaja perlu diketahui bagi membantu memahami tentang sesetengah remaja yang lambat atau cepat dalam pekembangan mereka dan apakah kesan-kesan disebaliknya. De Brun (1990) pula, mendefinisikan remaja sebagai tempoh pertumbuhan antara masa kanak- kanak dengan masa dewasa yang pada umumnya bermula pada usia 12 tahun atau 13 tahun dan berakhir pada usia awal dua puluhan. Manakala menurut Adams & Gullota (1997), masa remaja meliputi usia antara 11 tahun hingga 20 tahun. Havighurst dalam Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2004) pula, membahagikan masa remaja kepada dua iaitu awal remaja (12 hingga 18 tahun) dan akhir remaja (18 hingga 22 tahun). Anna Freud (1990) pula berpendapat, pada masa remaja berlaku proses perkembangan yang meliputi perubahan-
perubahan yang berhubung dengan perkembangan psikoseksual dan merupakan proses pembentukan orientasi masa depan. Daripada definisi remaja yang telah diberikan, secara keseluruhannya menyatakan bahawa remaja merupakan satu tempoh peralihan dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa yang berlangsung dalam usia sekitar 13 tahun hingga 20 tahun. Pada peringkat ini berlakunya perubahan yang pesat sama ada perubahan biologi, fizikal, mental dan emosi serta perubahan tanggungjawab dan peranan. Jadi, untuk mengimbangi perubahan-perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan dengan masalah dan konflik dalam mencari identiti diri. Oleh itu, berlakulah ketegangan dan tekanan emosi dalam diri remaja. Jika diteliti secara mendalam zaman remaja sebenarnya merupakan suatu proses dan bukannya satu jangkamasa. Kerana pada tahap ini berlakunya proses mencapai atau memperolehi sikap dan kepercayaan yang diperlukan demi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat.


PERKEMBANGAN FIZIKAL REMAJA

Perkembangan fizikal remaja boleh dirujuk kepada perkembangan remaja dari aspek biologi. Ketika ini remaja-remaja lelaki dan perempuan secara sedar atau tidak akan mengalami perubahan dari segi bentuk tubuh dan emosi. Perubahan ini berlaku akibat tindakan hormon. Kadar pembesaran dan perubahan remaja lelaki dan perempuan juga adalah berbeza dan begitu juga dengan seorang individu dengan individu yang lain.
Antara perkembangan fizikal yang dilalui oleh remaja seperti kematangan biologi, tingkahlaku heteroseksual dan akil baligh. Dari segi kematangan biologi, pada awal alam keremajaan, remaja selalunya sibuk menyesuaikan diri dengan pertumbuhan yang berlaku pada tubuhnya. Kesedaran ke atas kejantinaan diri semakin bertambah. Hal ini akan memberi kesan kepada imej tubuh serta konsep kendiri. Pada usia beginilah remaja akan lebih prihatin dengan keadaan tubuhnya. Mereka akan sering membezakan dirinya dengan rakan sebaya yang lain. Remaja yang cepat matang mempunyai beberapa kelebihan apabila dibandingkan dengan yang lambat matang. Mereka terlebih dahulu mengambil tempat dalam masyarakat remaja sementara mereka yang lambat matang perlu bersaing daripada sudut fizikal dan sosial bagi mendapat tempat yang istimewa dalam kelompok remaja. Dari segi tingkahlaku heteroseksual pula, remaja zaman dahulu mempunyai sikap yang berbeza ke atas pelbagai aspek seksual berbanding dengan remaja zaman sekarang,terutamanya remaja perempuan. Sebuah kajian ke atas kelompok pelajar sebuah kolej di Amerika Syarikat di antara tahun 1900 dengan tahun 1980 menunjukkan peratusan orang muda yang melakukan hubungan seks meningkat, dan kadar pelajar perempuan yang melakukan hubungan seks meningkat lebih cepat dibandingkan dengan pelajar lelaki. Beberapa buah kajian di Barat menunjukkan bahawa cinta adalah faktor utama ramai remaja perempuan melakukan hubungan seks. Keinginan berkahwin dengan pasangan mereka juga wujud di kalangan pelajar wanita tetapi kurang bagi pelajar lelaki. Faktor-faktor lain adalah seperti desakan teman lelaki, perasaan ingin tahu dan keinginan seks yang tidak berkaitan dengan cinta. Baligh pula merupakan perubahan biologi yang menandakan permulaan remaja. Ianya bermula apabila tahap hormon yang memasuki saluran darah meningkat ekoran respon kepada isyarat daripada bahagian otak iaitu hipotalamus. Apabila tahap pertumbuhan hormon bertambah dalam badan, lonjakan pertumbuhan kanak-kanak dengan tiba-tiba akan berlaku. Lonjakan ini merupakan tanda yang nyata tentang permulaan akhil baligh. Perkara yang paling ketara semasa baligh adalah merupakan perkembangan permatangan seksual iaitu kebolehan pembiakan. Menurut Jean Jacques Rousseau (1712-1778), akil baligh bermula pada usia 15 tahun atau mungkin lebih awal dari yang dianggarkan. Pada masa ini, kanak-kanak melalui peringkat kedua kelahiran, bentuk badan mula berubah dan keinginan muncul dari dalam, perubahan angin, kemarahan, perubahan fikiran, membuatkan mereka tidak dapat mengawal, mula berasa segan atau malu apabila berhadapan dengan kehadiran orang yang berlainan jantina, dan mereka mula merasai perasaan seksual. Dengan kata lain mereka mula tertarik antara satu sama lain. Manakala menurut Sigmund Freud dan Anna Freud, awal remaja adalah peringkat yang paling bermasalah disebabkan perubahan dramatik psikologi yang berlaku pada masa tersebut. Zon genital, khasnya didorong tenaga seksual yang hebat, dan remaja ini sekali lagi dilanda fantasi. Remaja ini mungkin rasa susah atau tidak selesa apabila berada di kalangan ibu bapanya. Stanley Hall (1904) berpendapat perkembangan seseorang individu ditentukan oleh naluri iaitu tenaga-tenaga biologi dan faktor genetik dan bukannya persekitaran. Beliau mengatakan zaman remaja sebagai zaman 'storm and stress' yang bersifat biologikal yang terhasil daripada perubahan-perubahan yang berlaku semasa baligh yang tidak dapat dielakkan.Mencapai akil baligh merupakan satu masa apabila emosi menjadi tidak stabil dan tergugat. Hall percaya bahawa hasil daripada tekanan-tekanan dan perubahan tersebut, remaja akhirnya akan menjadi individu yang matang dan bermoral.


TEORI PUNCA SALAH LAKU DAN MASALAH SOSIAL PELAJAR

Terdapat beberapa penjelasan mengenai punca devian. Teori fungsionalisme menganggap devian sebagai disfungsi pada struktur sosial. Teori konflik mengatakan devian merupakan tindakan golongan tertindas terhadap pihak minoriti yang menindas. Teori subbudaya dan deprivasi status pula berpendapat devian berpunca daripada budaya kumpulan yang berbeza dengan budaya masyarakat besar. Deprivasi selalu
berpunca daripada kekurangan ekonomi dan kelemahan emosi. Remaja terutamanya daripada latar belakang kelas sosial rendah yang tidak berjaya dalam akademik mengalami kekecewaan dan tekanan status lalu bertindak melakukan devian. Teori interaksionisme melihat devian sebagai sesuatu yang subjektif dan merupakan suatu proses sosial. Pelajar sengaja memilih tingkahlaku tertentu mengikut kemahuan mereka yang sesuai dengan cara mereka menginterpretasi sesuatu . Kajian Tattum (1986) mendapati bahawa pelajar sengaja melakukan devian sebagai teknik neutralisasi dalam interaksi mereka. Menurut Merton (1938) terdapat empat jenis devian iaitu inovasi (suatu cara memenuhi matlamat dengan cara yang salah), ritual (tindakan mengulang perbuatan), undur (seseorang yang tidak lagi berminat dengan matlamatnya lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan) dan menentang (menolak matlamat persekolahan dan menggantikannya dengan matlamat lain).


MASALAH SOSIAL PELAJAR

Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan membimbangkan kita terutamanya pelajar di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Apa yang menyedihkan kita ialah penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun ketika mereka mereka berada di tingkatan satu dan dua. Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut dilakukan di sekolah tersebut.
Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius.Seorang lagi guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah membuat tinjauan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan merasa sungguh terkejut kerana mendapati pelajarnya, lelaki dan perempuan meneguk minuman keras tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau juga mendedahkan bahawa mereka juga terlibat dalam aktiviti mat rempit dan juga kelab malam. Siapakah yang patut dipersalahkan? adakah daripada ibubapa, ataupun kurangnya didikan agama. Semuanya daripada insan itu sendiri terima ataupun menolak. Sama-samalah kita membanteras gejala sosial yang melanda rakyat kita khususnya di Malaysia.